2
SEJARAH PENUBUHAN FAKULTI
Universiti Malaya (UM) merupakan salah satu daripada perintis di dalam penggunaan
komputer di negara ini. Kemudahan komputer tersusun telah diperkenalkan di UM pada
pertengahan tahun 1967, setelah Pusat Komputer mula ditubuhkan secara rasmi pada tahun
1965.
Pada bulan Disember 1969, di samping peranannya sebagai pusat perkhidmatan, Pusat
Komputer telah dinaikkan taraf sebagai sebuah Institusi Universiti yang khusus di bidang
pengajaran dan penyelidikan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Lembaga Pusat
Komputer telah ditubuhkan dan terdiri dari Naib Canselor sebagai Pengerusi, Pengarah
Pusat Komputer sebagai Setiausaha dan seorang wakil setiap Fakulti, Institut, Pusat dan
Senat UM.
Pada tahun 1974, Pusat Komputer mula melaksanakan kursus Diploma Sains Komputer
yang merupakan satu kursus diploma lepasan ijazah. Setakat ini jumlah siswazah yang
telah lulus kursus tersebut bermula dari Sesi 1974/1975 hingga Sesi 1997/1998 sudah
melebihi 300 orang. Program Ijazah Sarjana Sains Komputer dan Ijazah Doktor Falsafah
yang merupakan program ijazah tinggi secara penyelidikan juga telah diluluskan oleh Senat
dan dikendalikan oleh Pusat Komputer mulai tahun 1985.
Bermula Sesi 1990/1991, Pusat Komputer telah menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda
Sains Komputer yang memakan masa empat (4) tahun dengan bilangan pengambilan
pertama seramai 50 orang. Seramai 43 orang graduan kumpulan pertama di mana lapan
(8) daripadanya memperolehi ijazah Kelas Pertama telah dapat dikeluarkan pada Sesi
1993/1994. Sementara itu pada Sesi 1994/1995, graduan kumpulan kedua pula seramai 50
orang di mana 10 daripadanya memperolehi ijazah Kelas Pertama telah dapat dikeluarkan.
Senat dalam mesyuarat bertarikh 1 April 1993 telah bersetuju menubuhkan Lembaga
Pengajian Pusat Komputer. Lembaga Pengajian tersebut antara lain memperakukan
sebuah Fakulti baru ditubuhkan dengan nama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi
Maklumat (FSKTM) serta Pusat Komputer yang ada dimansuhkan dan digantikan dengan
Bahagian Perkhidmatan Komputer dan diletakkan di bawah Canseleri.
Majlis Universiti Malaya di dalam mesyuaratnya pada 22 September 1994 telah bersetuju
dengan penubuhan FSKTM dan Bahagian Perkhidmatan Komputer. Peruntukan sebanyak
RM 4.2 juta telah diperolehi dari Rancangan Malaysia Ke-6 Kementerian Pendidikan untuk
membina bangunan baru bagi FSKTM termasuk kelengkapan komputer, perabot dan
kemudahan pengajaran. Bangunan FSKTM telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Mohd. Najib
bin Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan pada 26 September 1996. Di samping itu,
kursus Ijazah Dasar kedua iaitu Sarjana Muda Teknologi Maklumat ditawarkan buat kali
pertamanya pada Sesi 1996/1997 dengan pengambilan seramai 50 orang. Pada 21
September 1998, FSKTM telah berkembang dengan terbinanya bangunan tambahan yang
telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Datuk Fong Chan Onn.